TOPIK 6 : PENGURUSAN BILIK DARJAH
Pengurusan bilik darjah merupakan proses yang melibatkan penyusunan fizikal sesebuah bilik
darjah yang membantu dalam menggalakkan komunikasi dan interaksi antara pelajar. Persekitaran
pembelajaran yang merangkumi aspek murid, guru, ruang dan juga salah satu alat pembelajaran
merupakan maksud bagi bilik darjah. Pengurusan bilik darjah memiliki lima ciri iaitu aktiviti
pengajaran individu, aktiviti pengajaran berkumpulan, pusat pembelajaran, penyediaan bahan
pembelajaran dan juga pengurusan sumber.
Aktiviti pengajaran individu ialah penglibatan murid dalam pembelajaran yang amat diperlukan.
Setiap murid memiliki perbezaan masing-masing terutamanya dari segi kecerdasan, kebolehan,
bakat, minat dan cita-cita dan mereka berhak untuk mendapatkan peluang perkembangan
kecenderungan mereka secara menyeluruh. Guru memainkan peranan dalam membantu proses
pembelajaran ini. Seseorang murid yang meminati sesuatu perkara akan menguasai kemahiran
yang mengikut kebolehan mereka sendiri. Tugas sebagai guru adalah memerhati dan mengetahui
perbezaan ini yang boleh dikesan melalui kemahiran bertutur, membaca, menulis, mengira,
melukis, menyelesaikan masalah dan cara mereka menggunakan peralatan dan bahan. Pengawasan
guru yang baik akan membantu dalam meningkatkan potensi pelajar mereka. Pengajaran individu
boleh dilakukan dengan cara menjalankan aktiviti dalam kumpulan yang kecil yang juga
memerlukan kerjasama guru dalam menyediakan situasi pembelajaran yang mampu menarik minat
murid untuk tidak jemu belajar. Pada amnya, proses pembelajaran yang dialami oleh murid secara
individu di dalam kelas tidak kira formal mahupun tidak formal.
Antara objektif pengajaran dan pembelajaran individu ini ialah murid memiliki daya usaha untuk
belajar dengan sendiri, mampu memupuk keyakinan diri dan motivasi untuk belajar dalam diri
murid, murid dapat memperkembang kemahiran berfikir dan bertindak dengan sendiri dan akhir
sekali berobjektif murid dapat mengusai kemahiran membaca, menulis dan mengira mengikut
kebolehan masing-masing serta mendapat panduan khusus daripada guru mahupun rakan sebaya.
Lima faktor yang mempengaruhi aktiviti pengajaran dan pembelajaran individu ialah murid,
aktiviti, masa, bahan dan juga ruang. Guru pula berperanan dalam merancang pengajaran,
membentuk nilai yang positif, meningkatkan kemahiran diri seperti mengurus, berkomunikasi dan
membuat kauseling dan akhir sekali ialah menilai. Manakal bagi murid pula seharusnya bertindak
dalam mengenali bidang yang perlu dikuasai pada tahap-tahap tertentu dan memahami tujuan
mempelajari kemahiran yang telah ditetapkan. Malah guru dan murid juga perlu mendapatkan
gambaran tentang perkembangan perlakuan murid tentang minat, sikap dan nilai. Jelaslah bahawa
aktiviti pengajaran individu memiliki objektif tersendiri.
Seterusnya, aktiviti pengajaran berkumpulan yang merupakan aktiviti pengajaran yang
memerlukan pelajar menjalankan aktiviti dalam kumpulan. Murid dikelompokkan mengikut
peringkat kebolehan dan minat yang dikumpulankan samada mengikut kebolehan atau berbeza
kebolehan. Aktiviti pengajaran berkumpulan ini bertujuan memudahkan guru membimbing murid.
Malah aktiviti ini juga menggalakkan penglibatan aktif murid serta memupuk kerjasama dan juga
rasa tanggungjawab antara murid dimana murid yang pintar akan membantu murid yang lemah.
Disini terbukti bahawa aktiviti berkumpulan ini menyumbang kepada perkongsian ilmu antara
pelajar. Antara prinsip pengajaran berkumpulan ialah guru bersedia menghadapi pelbagai situasi,
perhatian yang diberikan oleh guru haruslah samarata kepada semua kumpulan, penerangan
diberikan kepada setiap kumpulan dan juga perlu merancang aktiviti terlebih dahulu bagi
mengelakkan berlakunya pertembungan aktiviti.
Organisasi pengajaran berkumpulan terbahagi kepada dua iaitu pertama, jenis dan bentuk
kumpulan yang terbahagi kepada tiga jenis iaitu mengikut kebolehan, pelbagai kebolehan dan
mengikut minat. Kedua ialah pengurusan fizikal kelas. Jenis dan bentuk kumpulan mengikut
kebolehan merupakan proses menyatukan pelajar yang memiliki kebolehan yang sama, contohnya
guru memerhati serta mencatat pencapaian murid-murid dan seterusnya secara berhati-hati
bahagikan mereka mengikut kebolehan mereka. Selalunya kelas kumpulan dibahagikan kepada
tiga iaitu kumpulan cerdas, sederhana dan lemah. Melalui cara ini memudahkan penguasaan
sesuatu kemahiran asas dalam mata pelajaran. Sebaliknya pula bagi kumpulan pelbagai kebolehan,
di mana dalam satu kumpulan terdapat pelbagai kebolehan dalam pelbagai aktiviti seperti dalam
satu-satu kumpulan ada yang pandai membaca, melukis dan juga aktif dalam kerja-kerja praktikal.
Melalui cara ini, murid yang cerdas membantu murid yang lambat di samping mereka boleh
meningkatkan kebolehan memimpin. Bagi kumpulan mengikut minat pula adalah berdasarkan
keseragaman minat atau bakat murid misalnya dalam mata pelajaran Akaun dan Sains. Namun
begitu, ianya hanyalah bersifat kekal atau sementara berdasarkan kehendak dan keperluan guru
dan murid. Pengurusan fizikal kelas pula memiliki dua cabang iaitu bilik darjah KBSR dan KBSM.
Bilik darjah KBSR menekankan pengajaran berpusatkan murid, susunan kerusi dan meja adalah
mengikut kumpulan serta menitikberatkan saiz kerusi dan meja yang sesuai mengikut ketinggian
murid. Manakala bagi bilik darjah KBSM, susunan meja dan kerusi berbentuk kumpulan yang
memudahkan guru membantu murid dalam pelajaran. Namun demikian, aktiviti pengajaran
berkumpulan ini memiliki kekangan tersendiri di mana guru tidak dapat memberi perhatian yang
saksama kepada setiap kumpulan dan juga pembelajaran rakan sebaya kurang berlaku. Tegaslah,
aktiviti pengajaran berkumpulan memiliki kelebihan dan kekurangan tersendiri.
i. Pusat Pembelajaran
Pusat pembelajaran ialah ruang dalam bilik darjah yang dilengkapi dengan pelbagai bahan
sumber dan dibina mengikut kreativiti gur dan murid. Dengan adanya pusat pembelajaran ini
sesi pengajaran dapat dilakukan dengan pelbagai teknik, kaedah serta pendekatan. Pusat
pembelajaran berfungsi sebagai tempat yang mempamerkan hasil kerja murid untuk membina
kreativiti dan keyakinan murid dan juga berfungsi sebagai ruang, peluang dan bahan kepada
murid yang menggunakan lebih daripada satu deria dalam sesi pembelajaran. Tiga faktor
penubuhan pusat pembelajaran ialah dari aspek fizikal, ekonomi serta daya usaha dan
kreativiti.
Pusat pembelajaran juga memiliki tiga jenis pusat iaitu pusat pembelajaran langsung, terbuka
dan kemahiran. Namun begitu, dalam penubuhan pusat pembelajaran terdapat panduan
membinanya, panduan merancang serta pengurusannya tersendiri. Antara panduan membina
pusat pembelajaran ialah menyusun kedudukan kerusi dan meja supaya ada ruang murid untuk
bergerak, mengubah susunan tempat duduk dari semasa ke semasa, mengenalpasti bahan
sumber yang diperlukan untuk dipamerkan atau dijadikan bahan rujukan dan juga melengkapi
pusat pembelajaran dengan pelbagai sumber dan bahan. Seterusnya bagi panduan merancang
ialah mengenalpasti sukatan pelajaran tertentu yang sesuai untuk dilakukan di pusat
pembelajaran. Selain itu, perlu juga mengenalpasti aktiviti yang telah dirancang untuk
dilakukan serta memilih dan juga mengumpul alat bahan mengajar seperti bahan cetak, tayang,
audio dan bahan tiga dimensi.
Pusat pembelajaran diurus secara usahasama antara guru dan murid dan guru berperanan dalam
merancang dan menyediakan jadual waktu penggunaan pusat pembelajaran bagi memastikan
kelancaran penggunaan pusat pembelajaran teratur, tidak berlaku pertembungan. Guru
bertugas juga diberi tugas untuk menyelia, membimbing dan mengawal keselamatan di
samping menyenarai bahan dan alat yang ada di pusat pembelajaran untuk tujuan pengesanan
bahan. Contohnya, bagi mengenalpasti kehilangan bahan dan memudahkan kerja penggantian
semula bahan. Manakala murid berperanan untuk mematuhi arahan guru ketika menggunakan
pusat pembelajaran.
ii. Bahan Pengajaran
Bahan pengajaran membawa maksud apa sahaja yang digunakan dalam pengajaran
merangkumi alat dan isi pengajaran atau juga dikenali dengan media pendidikan seperti
perkakasan dan perisian. Bahan pengajaran digunakan sebagai rangsangan bagi mewujudkan
suasana pembelajaran yang lebih bermakna. Bahan pengajaran diperlukan adalah kerana untuk
membantu guru menjelaskan apa yang hendak diajar dan membantu murid memahami apa
sahaja yang disampaikan oleh guru mereka. Sebagai contohnya, bahan pengajaran diperlukan
untuk menjelaskan makna atau konsep, menyampaikan sumber pengalaman dan dalam
mempelbagaikan teknik dan kaedah pengajaran agar murid-murid tidak cepat bosan jika hanya
tertumpu kepada buku sahaja.
Tiga proses penggunaan bahan yang harus diberi penekanan iaitu peringkat yang pertama ialah
rancangan pengajaran seterusnya persediaan mengajar dan akhir sekali peringkat ketiga iaitu
penilaian. Bahan pengajaran ini terbahagi kepada dua jenis, bahan hidup dan bahan bukan
hidup. Bahan hidup ialah seperti haiwan, manusia dan tumbuh-tumbuhan manakala bagi bahan
bukan hidup iaitu elektronik, bukan elektronik dan bahan-bahan tiga dimensi. Bagi
perancangan bahan pula yang diutamakan dalam merancang penggunaan sesuatu bahan ialah
jenis dan bahan bentuk, cara bahan digunakan dan juga kemudahan penggunaan bahan.
Tegaslah bahawa bahan pengajaran merupakan sesuatu yang diperlukan dalam proses
pengajaran pada dunia kini kerana ianya merupakan pembantu dalam penyampaian ilmu yang
berkesan.
iii. Pengurusan Sumber
Pengurusan sumber yang merupakan satu proses memilih, menyusun, mengguna dan
menyimpan bahan serta alat supaya proses pengajaran dan pembelajaran sempurna. Sumber
pendidikan pula ialah segala bahan dan alat yang dapat membantu guru dalam mencapai
objektif pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan. Dan antara objektif bagi
pengurusan sumber yang baik adalah untuk mewujudkan suasana dan persekitaran pendidikan
yang hidup dan mencabar dan seterusnya mampu menarik minat dan semangat kepada pelajar
untuk terus belajar. Malah pengurusan sumber ini juga menjamin perkembangan pembelajaran
murid. Natijahnya, pengurusan sumber merupakan salah satu perkara pelengkap dalam
menjamin pembelajaran yang berkesan di dalam setiap kelas yang memastikan aktiviti-aktiviti
di dalam bilik darjah berjalan tanpa gangguan.
Kesimpulannya, secara rumusannya, pengurusan bilik darjah merupakan tugas penting yang memerlukan pengetahuan, kemahiran, kesabaran dan komitmen yang optimum bagi memperoleh kesan yang maksimum. Harus diingat bahawa guru pelatih perlu mendapatkan maklumat secukupnya tentang bilik darjah dan pelajar-pelajar terlebih dahulu sebelum menjejakkan kaki buat pertama kali ke dalam bilik darjah berkenaan. Persediaan JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek, Sosialisasi) guru pelatih yang lengkap akan membolehkan pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan jaya, ceria dan cemerlang.
No comments:
Post a Comment