Saturday, December 8, 2018

TOPIK 1: SOSIOLOGI DAN PEMBELAJARAN

Menurut Profesor Dr. S. Nasution, M.A, sosiologi pendidikan ialah satu ilmu yang berusaha untuk
mengetahui cara-cara mengendalikan proses pendidikan untuk mengembangkan keperibadian
pendidik agar lebih baik dan teratur
. Selain daripada itu, menurut F.G Robbins dan Brown,
sosiologi pendidikan juga dikenali sebagai satu ilmu yang membicarakan dan menjelaskan
hubungan-hubungan sosial yang mempengaruhi individu untuk mendapatkan dan
mengorganisasikan sesuatu pengalaman
manakala E.G Payne menjelaskan bahawa sosiologi
pendidikan merupakan kajian yang komprehensif tentang segala aspek pendidikan daripada segi ilmu sosiologi yang ditetapkan. Oleh itu, sosiologi pendidikan adalah merupakan sebuah kajian tentang fenomena pendidikan yang berkembang dalam proses interaksi sosial dan masyarakat.
Pendekatan dalam kajian sosiologi terbahagi kepada dua iaitu pendekatan makro dan juga
pendekatan mikro. Pendekatan makro berkait rapat dengan teori-teori dalam sosiologi pendidikan
iaitu teori fungsionalisme dan teori konflik manakala pendekatan mikro pula berkait rapat dengan
teori interaksionalisme. Ahli sosiologi mengkaji peristiwa yang berlaku dalam masyarakat dengan
mengkaji secara makro iaitu bagaimana perlakuan sosial manusia dipengaruhi oleh masyarakatnya
manakala bagi pendekatan secara mikro ahli sosiologi mengkaji peristiwa yang berlaku ke atas
individu dalam masyarakat dengan berasaskan sudut pandangan individu tersebut.
Teori fungsionalisme merupakan kajian yang berlaku terhadap perlakuan sosial atau institusi
dalam kegiatan yang menyumbang kepada penerusan masyarakat. Dalam hal ini, masyarakat
dianggap seperti tubuh yang mempunyai bahagian dengan fungsi yang tersendiri iaitu mempunyai
tujuan dan keperluan tertentu. Hal ini demikian kerana, struktur sosial akan menentukan
kelancaran keharmonian dan perjalanan masyarakat. Teori konflik pula ialah satu teori yang
menganalisis konflik-konflik dalam masyarakat. Seperti yang dinyatakan oleh Max Weber (1964-
1920) yang mana beliau merupakan orang yang mengaitkan teori konflik dengan pendidikan,
beliau menegaskan bahawa fungsi utama sekolah ialah untuk mendidik pelajar tentang status
budaya. Sebagai contoh, hubungan antara kuasa dan kepentingan akan menimbulkan konflik di
antara individu dan kumpulan, ia akan mempengaruhi sistem pendidikan dalam masyarakat
tersebut.

Bagi teori interaksionalisme yang mana merupakan pendekatan makro pula, manusia tidak pasif
dan menekankan bahawa interaksi sosiallah yang membentuk realiti. Teori ini telah diperkenalkan
oleh seorang pengkaji yang bernama George Herbert Mead (1863-1931). Manakala ahli yang
menerapkan teori ini dalam pendidikan ialah David Hargreaves dalam bukunya yang berjudul
“Interpersonal Relation And Education”. Teori ini juga menjelaskan bahawa manusia
berkeupayaan membuat modifikasi dan alterasi di antaranya kerana kebolehan mereka berinteraksi
dengan diri sendiri. Kebolehan ini membolehkan mereka memanjangkan kemungkinan kesan
tindakan, membuat penilaian kebaikan dan keburukan dan akhirnya menentukan tindakan atau aksi
yang sesuai. Hal ini akan menyebabkan jalinan interaksi dan aksi akan membentuk kumpulan
masyarakat.
Secara rumusannya, teori-teori yang dikemukakan oleh setiap ahli sosiologi mempunyai perbezaan
disebabkan oleh pandangan-pandangan mereka yang berbeza. Namun demikian, setiap pandangan
tersebut dapat diambil sebagai rujukan buat masyarakat pada zaman sekarang terutamanya kepada
mereka yang bergelar sebagai pendidik. Hal ini agar mereka dapat mengaplikasikannya dalam
setiap tugas mengikut kesesuaian pada masa tersebut. Justeru itu, ini akan membolehkan lahirnya
anak didik yang cemerlang dan gemilang pada masa akan datang.
   

No comments:

Post a Comment