TOPIK 4: ORGANISASI DAN KEPIMPINAN
Pemimpin yang baik diperlukan dalam sesuatu organisasi bagi mewujudkan organisasi yang baik
serta mempunyai orientasi visi dan misi yang kehadapan. Pimpinan dalam organisasi adalah
jabatan atau posisi seseorang dalam sebuah organisasi dan tugasannya adalah untuk mengatur
segala sesuatu mengenai kebijakan dan keputusan dalam mengurus organisasi tersebut. Tugas
pemimpin dalam sesebuah organisasi ialah bertanggungjawab atas semua kerja organisasi yang
dijalankan manakala gaya kepimpinan akan mempengaruhi pencapaian hasil dari organisasi dalam
dunia pendidikan. Menurut George R. Terry, kepimpinan adalah kegiatan mempengaruhi orangorang,
agar mereka suka berusaha mencapai tujuan-tujuan kelompok. Seterusnya, organisasi pula
merupakan struktur atau susunan iaitu penyusunan dan penempatan orang-orang dalam suatu
kelompok kerjasama, yang bermaksud menempatkan orang dengan kewajiban, hak-hak dan
tanggungjawab masing-masing. Tugas dan tanggungjawab tersebut tersusun rapi pola kegiatannya
agar menuju ke arah tercapainya tujuan bersama yang telah disepakati.
Carta organisasi sekolah bermula daripada Pengetua yang diikuti dengan Penolong Kanan
Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Kaunselor dan Penolong Kanan Kokurikulum.
Penolong Kanan Pentadbiran terbahagi kepada dua bahagian kerja iaitu bahagian pentadbiran dan
bahagian kurikulum. Bahagian kurikulum pula terbahagi kepada dua iaitu Guru Kanan
Matapelajaran yang diketuai oleh Ketua Panitia bagi setiap matapelajaran dan pusat sumber.
Seterusnya bagi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid harus mengendalikan empat kerja iaitu dari
segi disiplin, pendaftaran pelajar, kantin dan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Kaunselor pula
merupakan satu badan yang agak penting bagi membentuk dan membantu dalam membaiki dari
segi sahsiah pelajar, tugasnya adalah bimbingan dan kerjaya. Akhir sekali, Penolong Kanan
Kokurikulum yang ditugaskan untuk mengendalikan dua bahagian iaitu bahagian sukan dan
bahagian kelab. Sukan terbahagi kepada dua iaitu rumah sukan dan olahraga ataupun dikenali
sebagai permainan. Bahagian kelab juga mempunyai dua bahagian iaitu persatuan dan unit
beruniform.
Peranan setiap Pengetua sekolah adalah memimpin organisasi ke arah pencapaian visi dan misi
sekolah. Mempunyai wawasan yang mengujakan dan jelas serta berupaya mengembleng warga
sekolah perlu ada dalam ciri-ciri setiap pengetua sekolah. Golongan ini perlu mentadbir dan
mengurus sekolah serta tugas lain yang perlu dikendalikan dilaksanakan dengan berkesan dan
cekap, misalnya perkara-perkara yang telah ditentukan oleh pihak berkepentingan seperti
Kementerian Pendidikan (KPM). Seseorang pengetua bertanggungjawab dalam meningkatkan
Kurikulum dan Kokurikulum serta memastikan pelaksanaannya selaras dengan dasar KPM. Malah
seorang Pengetua juga bertanggungjawab dalam hal ehwal pengurusan, pentadbiran dan kewangan
sekolah serta mewujudkan hubungan dua hala dengan komuniti dan agensi-agensi luar. Dalam
kata lain, seorang Pengetua harus memainkan peranan dari setiap sudut dan dianggap ‘kepala’
yang penting dalam organisasi sekolah ini. Jelaslah bahawa peranan Pengetua sebagai pemimpin
dalam organisasi sekolah ini adalah amat penting bagi mewujudkan sekolah yang berwawasan dan
mempunyai hala tuju yang jelas.
Seterusnya, bidang tugas Penolong Kanan pula ialah menjalankan tugas pengetua semasa
ketiadaannya. Sebagai contoh, setelah bersaranya seorang Pengetua, setiap Penolong Kanan perlu
mengambil alih buat seketika sementara menunggu Pengetua baru datang ke sekolah tersebut.
Tugas ini bertujuan agar sekolah tersebut dapat dikawal jika berlaku sebarang masalah semasa
ketiadaan Pengetua. Penolong Kanan bertanggungjawab kepada Pengetua dalam hal kurikulum,
pentadbiran, hubungan masyarakat dan keselamatan. Malah golongan ini juga bertangggungjawab
dalam membantu Pengetua dalam semua aspek perancangan dan pengurusan sekolah serta
menyelia dan menilai proses pengajaran. Manakala bagi tugas Kaunselor pula adalah menolong
pelajar untuk memahami dirinya dalam hubungannya dengan dunia sosial dan psikologi di tempat
pelajar berada, contohnya memahami sikap, mencungkil minat, bakat dan kebolehan masingmasing
dan juga membantu dalam penyempurnaan kendiri. Jelaslah bahawa peranan Penolong
Kanan dan Kaunselor mempunyai kepentingan tersendiri bagi menyempurnakan sesebuah
organisasi dan mencapai matlamat setiap sekolah.
Antara struktur Jawatankuasa Panitia Mata Pelajaran ialah Pengerusi iaitu Guru Kanan Mata
Pelajaran diikuti dengan Naib Pengerusi iaitu Ketua Panitia, seterusnya, setiausaha dan ahli yang
terdiri dari semua guru mata pelajaran. Guru Kanan Mata Pelajaran, Pengerusi, merupakan ketua
bidang mata pelajaran dan lantikannya adalah oleh Jabatan Pelajaran Negeri kerana ia melibatkan
elaun khas Guru Kanan. Peranan golongan ini adalah untuk memastikan pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan, merupakan penyelaras panitia bidang mata pelajarannya, mentadbir
dan mengurus kurikulum bidang mata pelajarannya, pengurus stor dan inventori bidang mata
pelajarannya dan juga memastikan kemajuan staf akademik dan bukan akademik dalam bidang
mata pelajarannya. Antara agihan mata pelajaran mengikut bidang terdiri daripada empat bidang
iaitu Bahasa, Sains dan Matematik, Teknik dan Vokasional dan akhir sekali bidang Kemanusiaan.
Bidang Bahasa terdiri daripada bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Cina, Tamil dan lain-lain. Sains
dan Matematik pula Sains teras, Biologi, Kimia, Fizik, Matematik, Matematik Tambahan dan
sebagianya. Manakala Teknik dan Vokasional, Kemahiran Hidup Bersepadu, Ekonomi Rumah
Tangga, Perdagangan, Prinsip Akaun dan lain-lain. Akhir sekali bidang Kemanusiaan Sivik,
Geografi, Kesusasteraan dan sebagainya.
Natijahnya, kepimpinan merupakan sesuatu yang amat penting dalam sebuah organisasi kerana
kepimpinan dapat menjadi pemancu prestasi dalam organisasi tersebut. Setiap peranan yang
diberikan kepada guru-guru merupakan sesuatu yang mencabar namun itulah komitmen yang
diperlukan oleh setiap organisasi bagi mencapai visi dan misi tersendiri melalui kesepakatan
bersama. Tanpa kepimpinan yang baik, sudah pasti generasi yang akan datang tidak dapat dibentuk
dengan baik.
i. Kepimpinan Peringkat Sekolah.
Di sekolah, kepimpinan adalah satu aspek tingkahlaku dan juga sejenis pengaruh.
Seseorang Pengetua yang memegang teraju di peringkat sekolah memerlukan pengatahuan dan
pengalaman yang banyak dan tinggi mengenai pendidikan. Sebagai contoh pengetahuan dalam
bidang akademik, latar belakang murid dan masyarakat, pengurusan pejabat, konsep kepimpinan,
masalah politik, dan masalah tingkah laku pelajar dan kakitangan. Oleh itu, pentingnya cara
kepimpinan Pengetua yang produktif dan baik dalam mengendalikan sesebuah organisasi yang
besar seperti sekolah ini. Kepimpinan peringkat sekolah terbahagi kepada empat, iaitu autokratik,
demokratik, laissez-faire dan kontigensi.
Autokratik merupakan hubungan sehala iaitu pemimpin dan dipimpin. Antara cirinya ialah
arahan dari Pengetua dan guru-guru perlu mengikuti arahan beliau tanpa soal. Pancangan Pengetua
perlu dilaksanakan dan Pengetua yang mengamalkan autokratik ini menjalankan kawalan yang
ketat dan kurang mempercayai orang lain. Dengan cara ini akan menyukarkan penambahbaikan
dilakukan kerana hanya ideanya sehaja yang diguna pakai dan tidak menerima pandangan guruguru
lain kerana jenis kepimpinan autokratik ini tidak menggalakkan percambahan minda. Sekolah
jenis autokratik ini memperlihatkan satu bentuk kuasa yang mutlak dan pembuatan keputusan
adalah terpusat. Setiap keputusan yang dikeluarkan guru-guru terpaksa menerimanya kerana ia
bersifat diktator.
Seterusnya, demokratik merupakan jenis kepimpinan yang lebih liberal. Di mana Pengetua
akan berbincang terlebih dahulu dengan para guru, melalui cara ini Pengetua akan menerima dan
memberi pandangan beliau terhadap perkara yang dibincangkan. Dan keputusannya adalah atas
dasar persetujuan majoriti. Kepimpinan demokratik ini amatlah digalakkan diguna pakai oleh
setiap organisasi kerana ianya menggalakkan percambahan minda serta dapat menerima
pandangan dari guru-guru lain. Cara ini mampu memulihkan sesuatu masalah dengan baik kerana
setiap guru mempunyai idea dan cadangan masing-masing. Melalui perkongsian idea ni, Pengetua
mampu memilih cara yang terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi.
Pandangan guru yang diberikan diambil perhatian oleh pihak pengurusan sekolah. Jelaslah, jenis
kepimpinan demokratik ini merupakan cara kepimpinan yang terbaik untuk diterapkan di dalam
sesebuah organisasi dan Pengetua merupakan individu yang seharusnya memainkan peranan
kepimpinan ini.
Laissez-faire merupakan jenis kepimpinan yang bertentangan dengan autokratik.
Kepimpinan ini memberi kebebasan, kurang unsur-unsur kawalan dan kurang memberi
pandangan. Malah, golongan ini juga kurang mengambil bahagian dalam pelaksanaan aktiviti.
Pengetua yang mengamalkan kepimpinan laissez-faire ini, menunjukkan bahawa beliau hanya
akan memberi komen terhadap aktiviti yang dilakukan oleh orang bawahan tanpa menilai dan
menyusun atur. Dan kebiasaannya, golongan ini tidak peduli mengenai kerja mahupun hasilnya
apatah lagi kuasa yang ada padanya tidak digunakan. Golongan seperti ini akan membiarkan
semua keputusan dibuat oleh orang bawahannya dan berperanan sebagai pemerhati senyap.
Namun begitu, terdapat beberapa kebaikan jenis kepimpinan laissez-faire ini, antaranya
ialah orang bawahan tidak terlalu tertekan dimana kebebasan penuh diberikan kepada pihak
bawahan dengan penglibatan yang minimum oleh pemimpin. Tidak seperti kepimpinan autokratik
yang semuanya dibawah arahan pemimpin. Semua pandangan guru diterima dan kepimpinan ini
memudahkan keputusan yang relevan dilakukan bagi menyelesaikan sesuatu tugasan mahupun
masalah. Akhir sekali, jenis kepimpinan Kontigensi yang merupakan kepimpinan yang bergantung
kepada situasi. Tiada cara khusus yang sama dalam semua keadaan untuk memimpin dan
mentadbir organisasi sekolah.
Akhir sekali, setiap sekolah mempunyai jenis kepimpinan tersendiri berdasarkan gaya
kepimpinan Pengetua sekolah itu sendiri. Tanpa kepimpinan yang baik, sudah tentu sesebuah
organisasi akan mengalami kecelaruan yang mampu menjatuhkan organisasi itu sendiri. Oleh itu
pentingnya memilih cara kepimpinan yang baik bagi menerajui sesebuah organisasi yang mampu
mencapai misi dan visi tersendiri
ii. Kepimpinan dan Gaya Pengajaran.
Kepimpinan pengajaran ialah tindakan yang dilakukan oleh seseorang pengetua mahupun
pihak-pihak yang telah diamanahkan untuk menggalakkan pembelajaran murid-murid. Menurut
Southworth (2002), pemimpin pengajaran adalah berkait dengan pengajaran dan pembelajaran
termasuk pembelajaran profesion perguruan dan juga pembelajaran murid. Manakala, kepimpinan
bilik darjah pula merupakan satu kemahiran untuk mengurus dirinya sendiri dan berkomunikasi
dengan orang lain, mampu mengaitkan perkara yang berlaku hari-hari yang melibatkan interaksi
dua pihak. Antara pemimpin di bilik darjah ialah guru kelas atau guru subjek dan murid-murid
yang diberi kuasa untuk mengendalikan kelas semasa ketiadaan guru seperti ketua dan penolong
kelas.
Kepimpinan di dalam bilik darjah wujud apabila murid-murid mengharapkan panduan dan
teladan dari seseorang guru, murid-murid mencapai sesuatu yang luar jangkaan mereka di dalam
bilik darjah dan juga setiap kali apabila terdapat pertumbuhan yang positif dalam diri setiap murid.
Ini merupakan bukti berlakunya kepimpinan di sekolah-sekolah. Antara ciri-ciri guru yang
berkepimpinan yang berkesan ialah guru yang mampu membuang sifat mementingkan diri sendiri.
Guru selalu ingin menang, merasakan dirinya selalu benar, bersikap sombong dan bangga akan
diri sendiri serta tidak suka dan susah mendengar saranan dan kritikan orang lain akan
membuatkan murid mahupun sesama pentadbir sekolah berasa tidak disenangi dan seterusnya akan
membatasi ruang pergaulan antara mereka.
Guru yang berkepimpinan juga bijak dalam membuat keputusan serta mampu menjadi
teladan kepada murid-muridnya. Walhal, guru yang mempunyai ciri kepimpinan yang berkesan
juga ialah guru yang mampu membuat pertimbangan yang wajar untuk mengelakkan perasaan
tidak puas hati dalam kalangan murid. Ciri ini sukar untuk ditemui dalam diri guru-guru kerana
ianya memerlukan kesabaran yang tinggi kerana harus menghadapi pelbagai karenah murid.
Jelaslah bahawa, peranan guru yang baik adalah bermula dari sifat guru itu sendiri.
iii. Gaya pengajaran
Gaya pengajaran ialah merupakan tindakan-tindakan yang guru lakukan semasa
mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam atau luar kelas. Dalam kata lain,
gaya pengajaran merupakan segala kegiatan yang dijalankan oleh guru dalam rangka
menyampaikan pengajaran yang berkesan kepada murid mereka. Secara amnya, guru-guru
seharusnya menjadi diri sendiri dalam mendidik pelajar. Sebagai contohnya, jika seseorang guru
itu mempunyai sifat lucu, jangan cuba menahan sifat lucu tersebut di dalam kelas. Hal ini demikian
kerana, murid-murid lebih menyukai dan menghormati serta selesa dengan seseorang guru yang
memaparkan gaya keperibadian yang jujur dan selagi mana guru mengambil berat tentang mereka
terutamanya dalam pembelajaran. Mereka juga tidak selesa dengan guru yang menunjuk-nunjuk
dan berpura-pura dihadapan mereka.
Antara kaedah yang boleh diterapkan untuk mewujudkan gaya pengajaran yang berkesan ialah
cara penyampaian yang baik yang sentiasa dipelbagaikan agar murid tidak merasa bosan dengan
pengajaran yang disampaikan serta pada akhir sesi pembelajaran, guru seharusnya mendapatkan
maklum balas dari murid.Terdapat tiga jenis gaya pengajaran iaitu secara langsung, secara tak
langsung dan pengajaran berpusatkan bahan bantu mengajar.
Pengajaran secara langsung di mana komunikasi yang berlaku adalah sehala di mana guru
mengamalkan pendekatan autoritarian, murid tiada dibenarkan untuk berinteraksi dengan murid
lain. Murid juga harus menerima apa sahaja ilmu pengetahuan yang diberikan oleh guru tidak kira
secara arahan atau penerangan. Jenis pengajaran ini merupakan kaedah cara yang lama dan pasif
dan ianya agak membosanakn. Namun begitu, terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan
oleh guru-guru seperti kaedah syarahan, bercerita dan pengajaran secara kelas.
Pengajaran secara tak langsung atau juga dikenali dengan pengajaran berpusatkan murid, guru
hanyalah sebagai pemerhati dan fasilitator kerana ianya berfokuskan terhadap murid. Contohnya,
kerja berkumpulan yang mampu mewujudkan interaksi sesama murid dan saling bertukar
pendapat. Hal ini memboleh murid untuk melakukan aktiviti yang akan meningkatkan lagi kognitif
mereka seiring dengan pembelajaran yang berlangsung di dalam kelas.
Pengajaran berpusatkan bahan bantu mengajar yang berperanan membantu tugas guru di dalam
kelas. Bahan yang digunakan merupakan saluran untuk menyalurkan segala ilmu pengetahuan
kepada murid-murid, seperti komputer, kertas major, software dan lain-lain lagi. Tegaslah bahawa
jenis gaya pengajaran terbahagi kepada 3 iaitu secara langsung, tak langsung dan bahan bantu
mengajar.
Kesimpulannya, kefahaman mengenai peranan kepimpinan pengajaran, kepimpinan di
dalam bilik darjah dan gaya pengajaran yang seharusnya diterapkan merupakan perkara yang perlu
difahami dengan baik oleh para guru. Dengan kefahaman yang mendalam akan membantu guru
agar sentiasa mengingati tanggungjawab mereka sebagai seorang pendidik yang berkaliber'
No comments:
Post a Comment