TOPIK 5: PENGURUSAN MURID.
Sistem pembelajaran terunggul dapat dilahirkan melalui pelbagai aspek yang dikaji dengan teliti
agar matlamat yang diigini tercapai dan antaranya ialah pengurusan murid. Pengurusan merupakan
satu proses mengagihkan input-input organisasi dengan cara perancangan, pengorganisasian,
pengawalan dan pengarahan. Pengurusan murid merupakan satu bidang yang penting di sekolah.
Ini kerana, pengurusan murid di sekolah adalah cermin prestasi sekolah itu sendiri. Suppiah
Nachiappan et. All (2009), menyatakan bahawa selain berhadapan dengan remaja yang
mempunyai masalah dan mengalami kecacatan, guru juga berhadapan dengan murid yang
mempunyai keistimewaan luar biasa dalam kategori pintar, cergas dan pelbagai upaya. Golongan
ini sering tidak dipedulikan kerana guru beranggapan mereka sudah dapat menguasai isi pelajaran
dengan cepat berbanding dengan yang lain. Pengurusan murid terbahagi kepada 3 komponen
penting, iaitu mengurus rekod pelajar, kesediaan murid belajar dan memotivasikan murid.
Tujuan mengurus rekod murid adalah untuk memantapkan sistem pengurusan murid di sekolah. Profil murid juga dikemaskinikan agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa kehidupan murid
tersebut, contohnya seorang murid yang bertukar rumah dan pihak sekolah tidak mengetahuinya,
ini akan menyulitkan pengurusan pihak sekolah jika ingin menghantar surat atau mengunjungi ke
rumah pelajar tersebut atas urusan kebajikan. Rekod murid juga bertujuan untuk mengetahui
perkembangan akademik, emosi, sahsiah dan tingkah laku pelajar selain bagi menyediakan
maklumat lengkap mengenai kemajuan pelajar dalam segala aspek perkembangan potensi (JERI).
Paling utama ialah rekod murid sebagai panduan kepada ibu bapa dan pelajar itu sendiri, di mana
ibu bapa dapat mengetahui kemajuan dan kebolehan anak mereka manakala murid pula dapat
mengatahui potensi masing-masing. Antara jenis-jenis rekod murid ialah rekod pendaftaran, rekod
kutipan yuran, jadual kedatangan, rekod prestasi, rekod profil, buku kemajuan murid dan kad
himpunan 001 & 002.
Seterusnya kesediaan murid. Kesediaan murid membawa maksud keadaan seseorang individu
yang bersedia dan berupaya mempelajari sesuatu perkara yang bertujuan untuk memperoleh
pengalaman dan pembelajaran yang baru. Jenis kesediaan pelajar terbahagi kepada 3 iaitu afektif,
kognitif dan psikomotor. Kesediaan kognitif berkait rapat dengan mental untuk memahami dan
berfikir di mana perkembangan mental bergantung kepada umur seseorang. Manakala afektif
merujuk kepada sikap, keinginan, minat dan ketekunan seseorang individu untuk menerima
pelajaran yang disampaikan oleh guru mereka. Pelajar yang mempunyai kesediaan afektif ialah
pelajar yang bersifat positif dan minat terhadap pelajaran yang akan memainkan peranan yang
aktif dan agresif dalam sebarang aktiviti. Penguasaan kemahiran yang berpusat kepada tindakan
fizikal termasuk perkembangan fizikal iaitu fungsi anggota dan pengawalan penyelarasan
penggerak di dalam seluruh badan pula merupakan kesediaan psikomotor. Antara faktor yang
mempengaruhi kesediaan pelajar ialah kematangan dan pengalaman.
Kematangan fizikal, sosial, mental, emosi, motivasi dalaman dan kemahiran asas dalaman
merupakan diantara kategori bagi faktor kematangan seseorang individu. Kesediaan pelajar turut
mempunyai masalah perbezaan yang diantaranya ialah perbezaan perkembangan mental, sikap dan
minat, kadar pertumbuhan fizikal, keyakinan diri, jantina dan perbezaan dalam diri sendiri.
Perkembangan mental yang wujud secara semulajadi ini sedikit sebanyak memberi masalah
kepada guru dalam melayani mereka. Murid yang meminati sesuatu subjek atau sesuatu perkara
akan mencapai prestasi yang baik dan cemerlang manakala guru akan menghadapi masalah dalam
memilih bahan, isi kandungan dan alat bantu mengajar. Bagi kadar pertumbuhan fizikal pula wujud
kerana setiap individu mempunyai corak pertumbuhan unik masing-masing. Sebagai contohnya,
kanak-kanak dalam umur yang sama tidak akan mempunyai kebolehan yang sama dan ini akan
membuatkan guru mereka susah untuk merancang pelajaran yang dapat memberi kepuasan kepada
murid.
Murid-murid yang datang dari pelbagai latar belakang turut menjadi kekangan kepada kesediaan
belajar, contohnya pelajar yang ekonomi keluarganya tidak stabil akan mengalami gangguan
dalam menuntut ilmu. Pelbagai status ekonomi yang pelbagai akan membina keyakinan diri yang
berbeza. Seterusnya, pelajar lelaki dan perempuan memiliki perkembangan biologi dan fizikal
yang berbeza. Pertumbuhan pada peringkat remaja bagi perempuan adalah berkembang lebih pesat
dan mencapai kedewasaan berbanding lelaki. Dan masalah kesediaan pelajar berpunca daripada
pengaruh nilai kebudayaan terhadap jantina dan sebagai seorang guru harus menyedari perbezaan
jantina tersebut ketika membuat rancangan pembelajaran. Akhir sekali, bagi perbezaan dalam diri
individu pula menunjukkan kebolehan yang berbeza-beza dalam bidang tertentu.
Motivasi bermaksud tingkah laku untuk mencapai keinginan dalam diri setiap pelajar yang dapat
bantuan daripada guru yang menyebabkan murid sentiasa ingin berusaha. Motivasi ini juga
merupakan sesuatu yang diberi sehingga mampu menaikkan semangat respond untuk mencapai
tujuan utama mereka. Terdapat dua hubungan motivasi murid dan pembelajaran iaitu murid
motivasi rendah dan murid motivasi tinggi. Antara contoh murid motivasi rendah ialah tidak peduli
akan pencapaian sendiri serta pasif dan malas dalam pembelajaran. Bagi murid motivasi tinggi
pula merupakan individu yang sentiasa membuat semakan akan prestasi sendiri dan juga kritis dan
kreatif dalam pembelajaran. Terdapat dua teknik motivasi iaitu teknik intrinsik dan ekstrinsik.
Teknik intrinsik merupakan hasil dorongan dalaman dan minat seseorang untuk melakukan sesuatu
perkara tanpa memikirkan ganjaran dan ianya merupakan sifat semulajadi seseorang dengan unsur
yang sedia ada dalam proses pembelajaran dan boleh terbentuk juga dari pengalaman. Teknik
ekstrinsik pula sebaliknya, di mana dipengaruhi oleh rangsangan luar iaitu sesuatu aktiviti yang
membawa faedah kepada dirinya. Para guru boleh meningkatkan motivasi kepada pelajar melalui
menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang mampu memberangsang pelajar
untuk menjadi lebih baik. Sebagai contoh persekitaran yang baik ialah menyediakan suasana bilik
darjah yang kondusif untuk pelajarnya, menentukan sasaran dan taraf pencapaian akademik yang
perlu dicapai dan memastikan penglibatan pelajar dalam semua aktiviti pembelajaran di dalam
atau di luar kelas.
Seterusnya, pembelajaran koperatif dan kolaboratif di mana mewujudkan suasana tolong menolong antara pelajar dan sentiasa mengingati dan mendorong pelajar yang lemah dalam usaha meningkatkan pencapaian kerja mereka. Peneguhan positif dan negatif juga merupakan salah satu
cara yang boleh diambil oleh para guru dalam memotivasikan pelajar. Peneguhan positif ialah
memberi pujian atau menganugerahkan pelajar dengan satu gelaran yang baik bagi mendorong
pelajar untuk mencapai matlamat dan juga hasil pembelajaran yang ingin dicapai. Manakala
peneguhan negatif ialah mengasingkan tempat duduk pelajar yang mempunyai tingkah laku yang
kurang baik dari pelajar yang baik agar ianya mampu mengelakkan terganggunya suasana proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Selain itu, bagi implikasi motivasi dalam pengajaran dan pembelajaran pula ialah guru harus
percayai akan pelajar mereka mampu meningkatkan pencapaian masing-masing, di sini
menunjukkan bahawa guru seharusnya tidak mengabaikan pelajar yang lemah, sebaliknya harus
memberi mereka semangat untuk terus berusaha. Guru juga harus memastikan penglibatan pelajar
dalam sebarang aktiviti akademik seperti aktiviti unit beruniform. Ciri-ciri komunikasi yang positif
juga harus diterapkan di dalam kelas sebagai contoh memberi senyuman mahupun anggukkan
kepala ketika berinteraksi dengan pelajar.
Kesimpulannya, secara rumusannya, dalam sesebuah organisasi memerlukan pengurusan murid yang baik seperti rekod murid yang tersusun dan lengkap, mengetahui tahap kesediaan murid dan akhir sekali motivasi. Ketiga-tiga pengurusan murid ini mempunyai kepentingan tersendiri sebagai contoh motivasi yang merupakan satu sesi atau proses yang amat diperlukan dalam mendidik pelajar.
Tanpa motivasi sudah tentu pelajar sukar dikawal, contohnya pelajar yang kurang pandai akan
berasa semakin tidak bersemangat kerana tiadanya semangat serta dorongan dari para tenaga
pengajar.
No comments:
Post a Comment